10 TIPS MUDAH UNTUK KENAL PASTI SAMA ADA PROJEK PERUMAHAN ITU SAH DARI SEGI UNDANG-UNDANG ATAU MERAGUKAN.

Tulisan asal diambil dari Facebook Page Peguam : Salkukhairi Abd Sukor

Sekiranya anda pergi ke pasaraya dan mendapati ada pihak-pihak tertentu membuka booth jualan rumah murah atau rumah mampu milik atau jika anda menerima sebarang tawaran melalui email, wassap dan sebagainya, yang menawarkan suatu skim pembelian perumahan yang agak pelik dan luar biasa, jangan terus bersetuju dan teruja untuk membelinya.

Sebaik-baiknya siasatlah dulu sama ada projek perumahan yang dijual itu sah dari segi undang-undang dan mematuhi amalan guaman sebenar atau ianya meragukan. Jika ianya meragukan, eloklah dielakkan.

Disini disenaraikan 10 tips mudah untuk mengetahui sama ada projek perumahan itu sah dari segi perundangan atau ianya satu projek perumahan atau skim yang meragukan.

1. Syarikat Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah diwajibkan memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dan jualan dalam setiap iklan yang dibuat. Anda boleh semak dengan KPKT status lesen dan permit tersebut . Sebaliknya, projek perumahan yang meragukan biasanya tidak akan memaparkan nombor lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dalam iklan mereka.

2. Sesuatu projek perumahan yang sah biasanya telah dikenalpasti lokasi sebenar dimana projek tersebut dibina. Ianya juga biasanya telah mempunyai geran individu yang berasingan atau telah mendapat kelulusan pembangunan oleh pihak berkuasa tempatan. Anda boleh minta untuk lihat salinan geran individu projek perumahan tersebut atau semak dengan bahagian perancang majlis daerah/ majlis perbendaran tentang kelulusan pembangunan projek tersebut. Jika tiada, atau lokasi projeknya sentiasa berubah-ubah, ianya mungkin satu projek perumahan yang meragukan dan patut dielakkan.

3. Sesuatu projek perumahan yang sah biasanya telah menetapkan harga yang seragam untuk setiap jenis rumah yang dijual mengikut harga yang telah diluluskan oleh KPKT. Sebaliknya, sesuatu projek perumahan yang meragukan akan menawarkan harga jualan yang mungkin berubah-ubah antara seorang pembeli dengan pembeli yang lain dan boleh berubah dari semasa ke semasa.

4. Projek perumahan yang sah biasanya terbuka kepada sesiapa sahaja untuk membelinya dan untuk membelinya, pembeli tidak akan dikenakan syarat-syarat menjadi ahli sesuatu kelab, persatuan, koperasi atau disyaratkan perlu menghadiri temuduga, kursus atau syarat-syarat lain yang tiada bersangkutan dengan rumah yang dijual. Sebaliknya, projek perumahan yang meragukan kebiasaannya menetapkan pelbagai syarat sebagaimana di atas yang kadang kala tiada kaitan pun dengan rumah yang dijual.

5. Pemaju sesuatu Projek perumahan yang sah biasanya tidak akan meminta pembeli membayar booking, fee tempahan, atau deposit atau apa-apa bayaran komitmen on the spot atau dengan tergesa-gesa. Pembeli biasanya akan diberi tempoh yang munasabah untuk menjelaskan bayaran deposit. Dan bayaran deposit hanya akan dibuat selepas perjanjian jual beli yang sah ditandatangani. Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan akan meminta pembeli membuat bayaran-bayaran tersebut dengan serta merta dan mungkin agak mendesak pembeli untuk berbuat demikian sebelum suatu perjanjian jual beli yang sah ditandatangani.

6. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah akan menguruskan pembiayaan perumahan untuk pembeli di bawah skim pembiayaan perumahan yang ditawarkan oleh bank-bank atau Lembag Pembiayan Perumahan Sektor Awam (LPPSA). Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan, akan meminta pembeli membuat pembiayaan peribadi dengan mana-mana bank tertentu atau mana-mana koperasi tertentu atau mana-mana individu atau institusi tertentu sahaja.

7. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah membenarkan pembeli menggadaikan rumah yang dibeli kepada bank atau LPPSA sebagai balasan terhadap pembiayaan yang diberikan. Tetapi sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan tidak membenarkan rumah yang dibeli oleh pembeli digadaikan. Sebaliknya segala bayaran hendaklah dibuat secara tunai sama ada secara sekali gus atau beransur-ansur mengikut syarat yang telah ditetapkan.

8. Bayaran harga jual beli untuk projek perumahan yang sah akan dibuat secara berperingkat-peringakt mengikut progress pembinaan. Pembayaran hanya dibuat setelah mendapat pengesahan progress pembinaan daripada Arkitek. Sebaliknya, projek perumahan meragukan akan mensyaratkan pembeli membuat bayaran harga jual beli sekali gus atau berperingkat mengikut ketetapan pihak mereka semata-mata.

9. Pemaju sesuatu projek perumahan yang sah mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang pembinaan hartanah dan telah mempunyai track record yang baik dalam pembinaan projek perumahan sebelum daripada ini. Sebaliknya, pemaju projek perumahan yang meragukan mungkin tiada pengalaman dalam bidang pembangunan hartanah atau baru sahaja ditubuhkan. Anda boleh semak track record sesuatu pemaju perumahan dengan KPKT.

10. Sesuatu pemaju projek perumahan yang sah kebiasaannya menggunkan pendekatan promosi yang sederhana dan biasa serta tidak terlalu dilihat menunjuk-nunjuk untuk menarik minat pembeli. Sebaliknya, sesuatu pemaju projek perumahan meragukan akan cuba mempromosikan projek mereka secara berlebih lebihan dan menggunakan istilah-istilah tertentu untuk menarik minat pembeli untuk membelinya.

Oleh;
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
K-LITERASI

Shared by Hafeez 0192912403

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!