PENULISAN ASAL ADALAH DARI FACEBOOK PAGE PEGUAM :Salkukhairi Abd Sukor
DOKUMEN SEWAAN RUMAH. ADAKAH PERLU DI MATI SETEM ATAU HANYA PERLU COP PESURUHJAYA SUMPAH SAHAJA?
1. Ramai yang masih keliru tentang apakah dokumen sewaan perlu dimati setem atau hanya perlu ditandatangani di hadapan pesuruhjaya sumpah sahaja
2. Dokumen yang perlu dimati stem biasanya adalah dokumen-dokumen kontrak / perjanjian yang melibatkan sekurang-kurangnya dua pihak termasuklah kontrak sewaan.
3. Dimana kesemua pihak dalam kontrak tersebut telah menurunkan tandatangan masing-masing pada muka surat akhir kontrak / perjanjian tersebut dihadapan saksi yang berkelayakan dari segi undang-undang (seperti peguam, hakim mahkamah, notary public dsbg).
4. Dan kontrak tersebut apabila telah ditandatangani, ianya akan mengikat kesemua pihak yang berkontrak ANTARA SATU SAMA LAIN.
5. Justeru, ntuk membolehkan kontrak / perjanjian sewaan tersebut mempunyai nilai dari sudut undang-undang dan untuk membolehkan ianya diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah sekiranya pada kemudian hari berlaku perbalahan berkaitan dengan kontrak sewaan tersebut, maka ianya WAJIB di mati stem di pejabat duti stem LHDN.
6. Pun begitu, jika tidak dimati stem, ianya TIDAK menjadikan dokumen kontrak tersebut TIDAK SAH. Cuma ianya hanya kurang “weight” sahaja di sisi undang-undang.
7. Manakala dokumen yang perlu ditandatangan dihadapan Pesuruhjaya Sumpah pula adalah dokumen yang melibatkan satu perakuan bersumpah yang dibuat oleh mana-mana pihak sama ada seorang atau lebih dari seorang berkenaan dengan sesuatu fakta.
8. Dan perakuan bersumpah itu hanya akan mengikat PIHAK yang membuat perakuan bersumpah itu SAHAJA. Dan perakuan bersumpah itu hendaklah ditandatangani dihadapan Pesuruhjaya Sumpah.
9. Jadi jika anda hendak buat satu perjanjian sewaan yang mana masing-masing akan terikat satu sama lain dengan terma-terma dalam perjanjian tersebut, maka prosedur yang PALING BETUL adalah anda buat satu perjanjian yang berkenaan (atau boleh lantik peguam untuk sediakan perjanjian tersebut) dan masing-masing turunkan tandatangan dihadapan peguam sebagai saksi, kemudian pergi mati stem.
10. BUKANNYA pergi pejabat pesuruhjaya sumpah kemudian suruh tukang taip di pejabat pesuruhjaya sumpah tu sediakan satu perjanjian sewaan ringkas dan anda turunkan tandatangan di hadapan pesuruhjaya sumpah, kemudian pesuruhjaya sumpah turunkan tandatangan dan cop pesuruhjaya sumpah pada perjanjian tersebut.
Cara ini TIDAK TEPAT DARI SEGI PROSEDUR UNDANG-UNDANG.
11. Tetapi sekiranya anda hanya ingin buat satu perakuan untuk mengesahkan tentang sesuatu perkara yang hanya akan mengikat diri anda sahaja, misalnya perakuan yang anda telah jelaskan bayaran deposit sewaan misalnya, maka tak perlulah anda buat satu perjanjian dan pergi mati stem. Memadailah dengan anda buat satu surat akuan bersumpah kemudian pergi ke pejabat Pesuruhjaya Sumpah untuk perakuan dan pengesahan oleh Pesuruhjaya Sumpah sahaja.
Harap huraian saya ini jelas difahami dan tiada lagi yang keliru lagi.
Sekian, terima kasih.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
K-LITERASI
Leave a Reply