KENAPA KITA KENA BELI TANAH REZAB MELAYU?

Penulisan diambil dari facebook page peguam : Salkukhairi Abd Sukor

KENAPA KITA KENA BELI TANAH REZAB MELAYU?

Sekarang kecoh dengan isu Tanah Rezab Melayu yang dikatakan semakin berkurangan.

Pernahkah kita bertanya, apa peranan yang perlu kita mainkan untuk mempertahankan Tanah Rezab Melayu ini?

Adakah sekadar melaungkan ungkapan “Selamatkan Tanah Rezab Melayu” semata-mata sudah memadai tanpa kita melakukan apa-apa.

Sebagai Orang Melayu, saya menyarankan agar kita semua membeli dan memiliki hartanah yang berstatus Rezab Melayu.

Saranan saya ini bukanlah atas sentiment perkauman, tetapi berdasarkan asas-asas yang kukuh seperti berikut:-

1. Jika kita enggan beli hartanah Rezab Melayu sekarang, tidak mustahil suatu hari nanti ianya boleh terlepas kepada kaum bukan Melayu.

Ini kerana, walaupun dari segi undang-undang, kaum bukan Melayu tidak boleh memiliki hartanah Rezab Melayu, tetapi sekiranya mana-mana pihak memohon agar Tanah Rezab Melayu itu dilucutkan statusnya kepada bukan Rezab Melayu, Kerajaan Negeri boleh meluluskan permohonan tersebut.

2. Sungguhpun disyaratkan ianya mesti digantikan dengan tanah kerajaan yang lain, tetapi tidak mustahil mungkin akan berlaku dari segi perlaksanaannya tanah-tanah yang tidak diganti. Jika tidak masakan rekod menunjukkan jumlah keluasan Tanah Rezab Melayu di negara kita semakin berkurangan.

3. Pembangunan sosio masyarakat kaum Melayu yang sinonim dengan agama Islam, lebih mudah dapat dibangunkan di dalam kawasan Hartanah Rezab Melayu.

4. Ini kerana sudah pasti majoriti penduduk di dalam suatu kawasan Rezab Melayu itu adalah terdiri daripada kaum Melayu. Maka proses penyatuan kaum dan ummah itu lebih mudah dapat dilaksanakan.

5. Misalnya melalui pembinaan masjid-masjid dan pusat-pusat aktiviti masyarakat yang sudah pasti akan melibatkan kaum Melayu dan umat Islam. Secara tidak lansung ukhwah Islam akan dapat dikukuhkan dan agama Islam dapat diamalkan dengan lebih baik.

6. Selain daripada itu, peluang-peluang ekonomi kaum Melayu dan umat Islam juga dapat ditingkatkan sekiranya orang Melayu membeli Hartanah Rezab Melayu, khususnya hartanah komersial.

7. Pemilikan kaum Melayu ke atas hartanah komersial berstatus Rezab Melayu dapat membuka peluang perniagaan kepada kaum Melayu dan umat Islam. Akhirnya, ianya dapat membangunkan ekonomi umat Islam secara keseluruhan. Dengan syarat peluang perniagaan yang ada tidak di “ali babakan” kepada kaum bukan Melayu atau bukan warganegara Malaysia.

8. Sekarang ini saya lihat banyak syarikat-syarikat pemaju bukan Melayu telah mula memajukan Tanah Rezab Melayu.

Mereka menggunakan proksi dikalangan Orang Melayu. Ini disebabkan oleh syarikat-syarikat Pemaju Melayu atau syarikat-syarikat berstatus bumiputra yang diwujudkan melalui anak-anak syarikat kerajaan itu sendiri tidak mampu untuk mebangunkan Tanah Rezab Melayu.

9. Justeru itu pentingnya kaum Melayu mempunyai kemampuan bukan setakat memiliki tanah Rezab Melayu tetapi juga kemampuan membangunkan Tanah Rezab Melayu itu sendiri supaya survival hakmilik orang Melayu akan terus kekal selamanya.

10. Pemilikan Tanah Rezab Melayu juga perlu dikekalkan dikalangan Orang Melayu untuk mempastikan Orang Melayu Islam mampu memiliki asset hartanah sendiri. Bahkan boleh diwariskan kepada generasi akan datang.

11. Dengan adanya Hartanah Rezab Melayu ini dapatlah memberi peluang kepada anak-anak Melayu memiliki hartanah sendiri. Dan ianya juga secara tidak lansung dapat mengawal harga hartanah tersebut daripada dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

12. Oleh yang demikian, saya berpendapat perlu kita sebagai Orang Melayu dan umat Islam mengambil serius tentang perkara ini. Ianya bukan sekadar satu kemestian, tetapi juga bolehlah kita katakan sebagai satu Fardhu Kifiyah kepada umat Islam untuk memelihara dan memliki Hartanah Rezab Melayu.

Sekian, terima kasih,

Oleh:

SALKUKHAIRI ABD SUKOR

Timbalan Presiden

Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia

(K-LITERASI)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!