WAKAF HARTANAH : BAGAIMANA UNTUK ELAKKAN PERTIKAIAN

Sumber penulisan diambil dari facebook page peguam : Salkukhairi Abd Sukor

WAKAF HARTANAH : BAGAIMANA UNTUK ELAKKAN PERTIKAIAN

Baru-baru ini saya ditanya oleh seorang mudir sebuah madrasah yang menghadapi masalah tentang status wakaf tapak madrasahnya.

Kata beliau, asalnya tapak madrasah tersebut telah diwakafkan oleh seorang hamba Allah. Tetapi tiada sebarang dokumen hitam putih dibuat untuk merekodkan status wakaf tersebut. Hanya ada saksi lisan sahaja.

Di dalam geran tanah pun masih lagi atas nama tuan tanah tersebut.

Konflik berlaku apabila tuan tanah yang dikatakan telah mewakafkan tanahnya itu meninggal dunia.

Maka memandangkan tiada bukti bertulis yang mengesahkan tanah tersebut telah diwakafkan kepada madrasah, bahkan dalam geran pun masih lagi nama arwah, maka anak- anak arwah telah menuntut tanah tersebut sebagai harta pusaka ayah mereka. Dan mereka telah meminta pihak madrasah mencari tapak lain kerana tanah tersebut akan menjadi milik mereka.

Inilah realiti masalah yang banyak berlaku dalam masyarakat Islam.

Ramai orang mempunyai niat yang baik untuk mewakafkan hartanah mereka untuk agama Allah, tetapi malangnya ianya tidak dilaksanakan mengikut kaedah dan undang-undang yang sebenar.

Akhirnya hartanah yang diwakafkan itu dipertikaikan dan matlamat pewakaf mewakafkan hartanah tersebut sebagai pelaburan akhirat tidak kesampaian.

Dari segi undang-undang di Malaysia, wakaf hanya boleh dibuat kepada Majlis Agama Islam Negeri, dimana mereka adalah pemegang amanah tunggal terhadap hartanah wakaf di Malaysia.

Walau bagaimanapun wakaf yang dibuat secara persendirian tetap sah sari segi hukum syarak tetapi ia mungkin tidak dapat dikuatkuasakan terutamanya jika ia dicabar oleh Majlis Agama Islam Negeri atau dicabar oleh waris-waris kepada pemberi wakaf tersebut terutamanya apabila tanah tersebut tidak dipindahmilik kepada nama penerima wakaf.

Bagaimana mahu menyelesaikan masalah sedemikian jika berlaku pertikaian terhadap status hartanah wakaf tersebut?

Ianya bukanlah satu soalan yang mudah untuk dijawab. Kerana ianya melibatkan prosiding perundangan yang agak rumit.

Dalam kes tersebut, pihak madrasah sebenarnya perlu memfailkan pengesahan di Mahkamah bahawa mereka adalah penerima wakaf yang sah. Dan mahkamah akan melihat kepada segala bukti dan dokumen yang ada.

Masalah menjadi rumit sekiranya wakaf yang dibuat hanya sekadar wakaf lisan sahaja dan tiada sebarang dokumentasi bertulis. Maka terpaksalah saksi saksi dipanggil untuk membuktikan tuntutan mereka di Mahkamah. Bagaimana pula kalau saksi-saksi tersebut juga telah meninggal dunia? Pasti ia akan menyukarkan lagi proses pembuktian.

Kemudian, seandainya Mahkamah berpuas hati dengan permohonan tersebut, satu perintah pengesahan dan perletakanhak akan dikeluarkan. Dengan perintah tersebut pejabat tanah akan mendaftarkan perletakanhak hartanah tersebut kepada penerima wakaf yang sepatutnya sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah.

Prosiding di atas tidak semudah yang dikatakan. Dan apabila melibatkan isu dan penyelesaian yang rumit begitu di Mahkamah, pastinya ia akan melibatkan kos guaman yang agak tinggi. Adakah ianya berbaloi? Persoalan itu perlu dijawab oleh pihak yang ingin memfailkan tindakan tersebut.

Justeru itu, untuk mengelakkan masalah yang sama berlaku kepada pihak lain pada masa akan datang berikut dinyatakan beberapa solusinya:

1. Sebaik-baiknya sebelum mewakafkan sesuatu hartanah, dapatkan pandangan dan nasihat daripada Majlis Agama Islam Negeri terlebih dahulu. Ini kerana sebagaimana yang saya nyatakan di atas, Majlis Agama Islam Negeri adalah penerima tunggal kepada harta wakaf di negara kita.

Dengan cara tersebut, pemberi wakaf dapat mengenalpasti adakah hartanah yang akan diwakafkan kelak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk Islam.

2. Sekiranya tuan tanah bersetuju untuk mewakafkan hartanahnya, mereka perlu menandatangani satu Suratcara Wakaf dengan Majlis Agama Islam dan seterusnya hendaklah memindahmilikkan hartanah tersebut kepada Majlis Agama Islam sebagai penerima wakaf.

3. Untuk merekodkan nama pemberi wakaf dan penerima wakaf dalam geran hartanah, pemberi wakaf boleh memfail Borang di bawah Section 416C Kanun Tanah Negera di pejabat tanah yang berkenaan.

4. Dengan adanya permohonan tersebut pendaftar hak milik di pejabat tanah akan mengendorskan nama pemberi wakaf dan penerima sebagai pemegang hartanah wakaf dalam geran hartanah. Dan rekod tersebut akan kekal sampai bila-bila. Dengan cara itu, hak dan kepentingan pemberi wakaf akan dilindungi dan tidak boleh dipertikaikan lagi oleh mana mana pihak.

5. Dan semua pihak perlu ingat!. Hartanah yang telah di wakafkan tidak boleh ditarik balik status wakafnya. Jadi kepada waris-waris si mati yang mana hartanahnya telah diwakafkan (baik secara lisan ataupun secara bertulis) semasa mereka masih hidup, janganlah anda berani hendak pertikaikan wakaf yang telah dibuat oleh ibu bapa anda semasa mereka masih hidup, dek kerana semata-mata tamak dan ingin merebut harta dunia.

Ingatlah! harta yang telah di wakaf kan kini telah menjadi hak Allah. Beranikah anda hendak tuntut hak Allah. Kalau tak takut azab Allah di akhirat, cuba lah!

Wallahuaklam.

Yang ikhlas,

SALKUKHAIRI ABD SUKOR
Timbalan Presiden
K-LITERASI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!